Perjalanan hidup saya tidaklah mudah (sekarang pun belum senang sangat 😅). Tapi apa yang paling terkesan pada saya ialah betapa susahnya mencari pekerjaan selepas habis belajar. Sebelum tu perjalanan saya sebagai seorang pelajar agak lancar juga. Peperiksaan demi peperiksaan berjaya dilalui walaupun tidaklah secemerlang mana.
Selepas SPM ramai diantara kawan-kawan sekolah saya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah. Tapi, saya hanya dapat menyambung pelajaran di peringkat Diploma. Sedih tu jangan cakaplah. Dapat pulak kursus yang bukan bidang saya. Saya teruskan juga kursus tersebut sampailah berjaya menggenggam segulung Diploma dan Ijazah. Walaupun masa yang diambil agak panjang juga.
Tamat saja belajar, bermulalah misi mencari kerja. Masa ni macam-macam pengalaman yang saya lalui. Saya pernah bekerja di kedai makan, di pasaraya, jaga peperiksaan di IPTA, jadi pembantu fasilitator untuk program PPSMI di sekolah-sekolah dan eksekutif pemasaran.
Masa tu terfikir juga sampai bila saya nak bertukar-tukar kerja. Sehinggalah saya berjaya dapat pekerjaan yang bersesuaian dengan pengalaman saya di sebuah syarikat swasta. Di situ saya banyak belajar menjadi seorang yang lebih yakin dan motivated.
Saya lebih berani untuk berkomunikasi dengan orang ramai kerana saya perlu hubungi pelanggan setiap hari. Berhadapan dengan suasana kerja yang cepat dan pantas membuatkan saya perlu sentiasa bersedia setiap hari dengan perancangan harian. Persediaan mental dan fizikal perlu kuat setiap hari kerana kadang-kadang masa kerja berlarutan hingga ke malam.
Sekarang, saya surirumah sepenuh masa. Namun pengalaman lepas banyak mengajar saya untuk jadi seorang yang lebih tabah dan kuat.
Saya selalu ingatkan diri saya setiap hari untuk kekal positif. Jangan mudah putus asa dengan keadaan hidup kerana saya ada anak-anak dan suami sebagai penguat semangat. InshaAllah, saya akan terus usaha untuk mengubah nasib saya dan keluarga.
Comments
Post a Comment